Seks berkualiti dengan bersikap romantik
Romantik faktor seks berkualiti
Hubungan seks perlu berlangsung dalam keadaan yang rela, suka sama suka. Barulah kenikmatan dapat di kecapi. Tetapi, kebanyakan pasangan suami isteri masa kini melakukan seks tidak sepenuh hati. Mungkin kerana penat dengan kerja atau terlalu mengejar masa.
Usah begitu kerana ia benar-benar boleh mengganggu keharmonian perkahwinan yang dibina. Kehidupan seks perlu dirasai sepuasnya. Persoalannya sekarang, puaskah anda? Adakah perjalanan seks anda dilalui dengan cara yang sihat? Jawapannya tepuk dada tanya selera.
Tetapi, jangan sekali-sekali melakukan perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan-rakan. Semestinya ia satu tindakan yang salah dan memalukan. Hakikatnya, hubungan kelamin setiap pasangan itu cukup unik untuk diteroka malah masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk melakukannya.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh diguna pakai bagi memastikan kehidupan seks yang anda jalani sihat ataupun sebaliknya :
Jalinan hubungan yang sihat
Ikatan perkahwinan yang sihat berlaku apabila suami dan isteri sentiasa bercerita mengenai apa yang berlangsung dalam rumah tangga mereka. Tak kiralah apa juga topik, semuanya diceritakan secara telus termasuklah perihal seks.
Sekiranya salah seorang tidak berpuas hati dengannya, maka ia akan terus disuarakan lalu jalan penyelesaian akan dicari dengan cepat. Kedua-duanya berfikiran lebih realistik sekali gus memahami kemampuan masing-masing di samping tidak terlalu menyalahkan pasangan.
Rajin bereksperimen
Pasangan yang suka bereksperimen ketika melakukan hubungan intim menunjukkan bahawa mereka cukup selesa dengan kehidupan seks yang dilalui. Maksud eksperimen yang dicadangkan adalah teknik yang dibenarkan oleh Islam, bukanlah perlakuan melampau dan bertentangan.
Mungkin, sesekali anda bertindak menukar posisi atau mencuba beberapa gaya baru. Mungkin juga mengubah lokasi dari katil ke sofa atau mengubah suasana bilik. Semua itu adalah eksperimen yang kreatif dan boleh mewujudkan satu situasi yang lain dari biasa.
Seks perlu ikhlas, bukan terpaksa
Ada ketikanya, pasti terdetik betapa seronoknya waktu bergelar raja sehari. Berada di awal fasa perkahwinan, segala yang dilalui indah-indah belaka. Pasangan cukup romantik malah terlalu mengambil berat terhadap apa yang berlaku.
Oleh kerana itu, tidak hairanlah sekiranya hubungan seks yang berlangsung pun terasa indah dan bertenaga. Tetapi, menjelang perkahwinan berada di pertengahan, mengapa berlaku banyak perubahan.
Seks yang sepatutnya dinikmati dan dihayati penuh perasaan, akhirnya menjadi satu kewajipan semata-mata. Tanpa perasaan’ia dilakukan malah tidak keterlaluan ada segelintir yang melakukan kerana terpaksa. Usah begitu.
Cuba ikhlaskan hati untuk terima pasangan seadanya. Perubahan masa tidak seharusnya mengubah sayang anda kepadanya. Bajailah cinta dan kasih sayang agar ia terus mekar hingga ke hujung usia.
Tinggalkan memori yang indah
Tahukah anda bahawa seks lebih daripada hubungan kelamin. Ia perlu dibajai dengan gurau senda serta sentuhan mesra yang mampu membangkitkan ghairah kepada pasangan. Pastikan anda menjadi suami ataupun isteri yang kreatif untuk kejutan yang lebih bermakna.
Mungkin, anda boleh selitkan beberapa keping nota-nota cinta atau menyelitkan hadiah berupa bunga, coklat atau apa sahaja selepas berasmara. Sudah pasti ia menjadi satu momen yang indah untuk diingati sampai bila-bila.
Secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa anda masih kekal dengan sikap romantik meskipun hubungan seks telah berlalu.