Bibir Faraj Besar Sebelah
Soalan:
Saya mengalami masalah di alat sulit. Saya dapati di bahagian bibir sulit saya besar sebelah. Saya ingin tahu adakah ia boleh diubati? Saya malu hendak membuat pemeriksaan tetapi dalam masa yang sama, saya risau jika ia masalah yang serius.
Jawapan
Bibir pada alat sulit wanita dikenali sebagai labia. Ada dua jenis labia iaitu labia majora dan labia minora. Bibir atau labia majora adalah yang paling besar dan berada di luar sementara bibir atau labia minora adalah yang terkecil dan di bahagian dalam di tepi lubang vagina.
Berdasarkan keterangan puan, saya beranggapan salah satu bibir labia majora itu yang lebih besar dari yang satu lagi. Itulah sebabnya saya menasihatkan puan lebih berjumpa dengan doktor untuk memastikan sebelah mana yang bermasalah dan mendapat diagnosis yang tepat. Kalau malu itu satu sebab mengapa puan tidak mahu berjumpa doktor, maka kami tidak dapat menolongnya.
Adalah lumrah apabila pembentukan organ-organ manusia semasa di dalam perut ibu kita, ada juga berlakunya pembentukan yang tidak seimbang. Contohnya pembentukan payudara bagi wanita dan testis bagi lelaki. Pasti ada yang besar sebelah atau tinggi sebelah. Itulah proses semula jadi dan di luar kawalan kita.
Oleh itu, puan tidak perlu khuatir atau susah hati pada bibir labia majora yang besar sebelah. Saya rasa pembentukan bibir yang begitu sejak dari remaja sudah begitu. Ini tidak memudaratkan kesihatan puan dan tidak pula mengganggu hubungan seksual atau menjejaskan kesuburan puan biarpun dari sudut kosmetik ia tidak berapa elok.
Ketika ini ada beberapa pembedahan untuk mengurangkan saiz bibir labia majora ini. Puan perlu berjumpa dengan doktor untuk penjelasan dan pembedahan. Selain itu ada juga beberapa masalah yang boleh timbul di bibir labia majora ini seperti sista Bartolin, sista sebaceous dan lipoma. Ketiga-tiga sista ini membentuk satu bonjolan di bibir (labia majora) dan akan terus membesar. Jika ia berlaku, pembedahan kecil perlu dibuat, jika perlu.
Justeru, saya harap puan dapat berjumpa dengan doktor pakar ginekologi untuk pemeriksaan.
JAWAPAN DISEDIAKAN:
Dr Suhaimi Isa, Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Ampang.