Quantcast
Channel: BLOG - KEBAHAGIAAN2U
Viewing all articles
Browse latest Browse all 551

Selaput dara tertutup

$
0
0

Selaput dara tertutup

Soalan:

Masalah saya sekarang ialah saya masih belum datang haid lagi. Di sekitar faraj saya terdapat ketulan yang berwarna putih yang menutupi seluruh faraj saya. Adakah ketulan itu selaput dara? Kerana ia bukan keputihan.

Apa yang saya runsingkan ialah pernah sekali ia mengeluarkan tompok darah. Adakah ia kerana selaput dara saya pecah?

Setiap bulan saya akan berasa sakit di bawah perut. Saya juga telah mendapat tanda-tanda seperti pembesaran payudara serta bulu ari-ari yang tumbuh. Adakah saya tidak akan datang haid buat selama-lamanya?

Tolong bantu saya kerana saya tidak pernah menceritakan hal ini kepada sesiapa pun kecuali ibu saya, saya juga tidak berani berjumpa doktor di luar. Apakah masalah sebenar saya? Saya mahu menjadi seorang gadis yang sempurna seperti orang lain.

Jawapan:

Daripada cerita adik yang berumur 14 tahun ini, masalah anda adalah impeforate hymen, iaitu selaput dara tertutup dan darah haid setiap bulan tidak dapat mengalir keluar. Maka darah ini akan berkumpul di dalam rahim dan keadaan ini dipanggil hematokolpos (hematocolpos).

Sebaiknya adik perlu berjumpa doktor sakit puan secepat mungkin, keadaan ini tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana darah akan berkumpul setiap bulan dalam rahim dan boleh mengalir ke dalam tiub fallopian dan kawasan peritoneum pelvis. Ini seterusnya boleh menyebabkan struktur pelvis melekat dan keadaan endometriosis terjadi.

Doktor sakit puan akan memeriksa adik dan menjalankan ujian ultrabunyi. Jika didapati keadaan impeforate hymen, adik akan dijadualkan untuk satu pembedahan di mana lapisan selaput dara ini dipotong untuk membolehkan darah keluar. Darah ini biasanya akan berwarna coklat.

Antibiotik mungkin akan diberi untuk mengelakkan jangkitan kuman terjadi. Biasanya, ujian lain seperti leparoskopi juga dijadualkan untuk memastikan yang rahim, ovari dan buah pinggang dalam keadaan yang sempurna. Fahami bahawa keadaan adik ini boleh diubati dan adik perlu mendapatkan rawatan awal.

Dr. Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)


Viewing all articles
Browse latest Browse all 551