Diabetes Antara Punca Lesu Seks
Saya berusia sekitar 52 tahun dan menghidap diabetes sejak 17 tahun yang lalu. Selepas pemeriksaan baru-baru ini, saya juga disahkan mempunyai masalah kolesterol yang tinggi.
Kini saya sedang mengambil ubat untuk menangani masalah - masalah tersebut. Adakah keadaan-keadaan ini menyumbang kepada kelesuan dan dalam masa yang sama menjejaskan prestasi hubungan intim saya? Adakah keletihan dan kualiti hubungan intim boleh diperbaiki dengan makanan tambahan?
JAWAPAN
Terima kasih di atas soalan yang ditanya. Sebagaimana yang kita sedia maklum, diabetes menjadikan seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat masalah jantung atau penyakit kardiovaskular lain. Apabila seseorang mengidap diabetes, peluang untuk mendapat masalah lain seperti darah tinggi (hipertensi) dan paras kolestrol tinggi dalam darah (hiperkolesterolaemia) juga tinggi. Ini tidak termasuk komplikasi-komplikasi diabetes itu sendiri.
Di usia 50-an, rawatan yang agresif perlu diberikan agar tahap gula, tekanan darah dan kolesterol dalam darah adalah dalam tahap yang terkawal. Ini bagi memastikan saudara tidak mendapat penyakit kardiovaskular dan komplikasi diabetes dalam jangkamasa yang singkat. Dengan kata lain, ubat-ubatan adalah diperlukan selain dari mengawal dengan cara menjalani kehidupan yang sihat. Berkenaan dengan ubat bagi menurunkan paras kolesterol, kebiasaan ubat yang diberikan dipanggil kumpulan statin sama ada atorvastatin, pravastatin, lovastatin, simvastatin dan sebagainya.
Ia cukup berkesan dalam menurunkan paras kolesterol dalam darah dan kesannya terhadap penurunan kadar penyakit kardiovaskular juga telah terbukti. Walaubagaimanapun, ia tidak dapat lari dari memberi kesan negatif terhadap sesetengah pesakit termasuklah seperti yang dialami oleh saudara. Masalah disfungsi ereksi, kurang nafsu, keletihan adalah antara masalah-masalah yang kerap dilaporkan.
Ia juga boleh memberi kesan seperti kekejangan otot, sakit otot-otot dan sebagainya. Jadi, eloklah saudara berjumpa dan berbincang dengan doktor saudara berkenaan masalah saudara. Doktor biasanya akan meneliti kesan-kesan yang dihadapi saudara sebelum membuat keputusan untuk memberhentikan ubat dan/atau menukar ubat yang saudara ambil mengambil kira faktor-faktor risiko seperti yang saya sebutkan di atas.
Kesan diabetes
Untuk makluman saudara, masalah disfungsi ereksi memang kerap berlaku di kalangan pengidap diabetes. Ini kerana kesan diabetes terhadap saraf-saraf dan saluran darah yang mengalir ke zakar. Walaubagaimanapun, sekarang banyak ubat-ubat yang telah terbukti memberi kesan positif terhadap masalah ini. Saudara cuma perlu berjumpa doktor dan menceritakan masalah saudara. Jika tidak ada kontraindikasi, doktor akan mempreskripsikan ubat-ubatan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah saudara. Jika masih tidak pulih, saudara boleh membuat temujanji dengan pakar kesihatan lelaki atau pakar urologi untuk rawatan lanjut. Saya tidak menggalakkan saudara untuk mengambil makanan tambahan sekiranya saudara mengamalkan pemakanan sihat sesuai dengan masalah kesihatan saudara. Jika saudara ingin mencuba apa-apa makanan tambahan, eloklah berbincang dengan doktor bagi memastikan ia selamat dan sesuai untuk dimakan. Selamat berjaya
~ Utusan