Isteri kecewa Suami Tidur Selepas Seks
RAMAI ISTERI YANG TIDAK BERANI MELUAHKAN KETIDAKPUAS HATI TENTANG ADEGAN RANJANG YANG DILALUI BERSAMA SUAMI. APA YANG DIBERI SUAMI MAKA ITULAH YANG DITERIMA. PERASAAN MALU MENYABABKAN MEREKA ENGGAN MENGUTARAKAN PERSOALAN 'DALAM KAIN' INI TERMASUKLAH DENGAN SUAMI SENDIRI. AKIBATNYA KELUHAN DEMI KELUHAN INI DIPENDAMKAN DI HATI SAJA.
Selain tidak mendapat kepuasan seks, sikap suami ketika hubungan intim berlangsung dan juga selepas ia selesai sering saja membuatkan wanita makan hati dalam diam. Antaranya adalah tindakan suami yang terus tidur usai melakukan seks. Walhal tatkala inilah isteri ingin bermanja, ingin dibelai malah berharap asmara dapat berlanjutan. Malangnya ramai yang kecewa bila suami mengambil keputusan untuk langsung tidur selepas berhempas pulas di ranjang. Rasa jengkel sudah pasti, dan kalau ditanya pada isteri di luar sana pasti ramai yang sering berhadapan dengan situasi ini.
Mengapa ramai suami bersikap sedemikian? Sememangnya ada penjelasan yang logik tentang hal ini. Menurut kajian yang dilakukan, hubungan seks yang dilakukan akan memberi kenikmatan dan merangsang hormon yang memberi ketenangan. Saat inilah otak lelaki akan cenderung diarahkan untuk segera berehat kerana kepenatan. Nah! Inilah alasan sebenarnya mengapa mereka tidur. Wanita pula sebaliknya, mereka masih memiliki sisa rangsangan dan ghairah selepas bercinta dan tidak hairanlah jika mereka boleh memperoleh orgasma berganda dalam satu masa.
Atas alasan ini, pihak isteri tidak boleh 100 peratus menyalahkan suami. Lebih baik sekiranya anda mengajak suami membicarakan hal ini. Luahkan apa yang anda rasai agar sekurang-kurangnya ada usaha dilakukan untuk membuatkan dirinya terus ‘terjaga’ selepas seks. Dalam pada itu MW kali ini menyediakan cara yang boleh dilakukan untuk menjayakan hal ini. Cara ini dijamin memberikan anda kesempatan untuk bermesra dengan suami. Bagaimana? Ikuti empat tip berikut;
1. Puji kehebatannya
Melepaskan penat dengan berbaring sambil membayangkan kenikmatan yang baru saja anda lalui bersama pastinya sesuatu yang membahagiakan. Dalam pada itu, ajaklah suami mengulas apa yang telah anda berdua lewati tadi. Lontarkan juga pujian kepada suami terhadap ‘persembahannya’ tadi. Pujian ini selalunya akan membuatkan dirinya terasa dihargai. Ternyata penat jerihnya untuk memuaskan anda mendapat apresiasi yang tulus.
2. Bermesraan
Selesai berhempas pulas lanjutkan acara ranjang bersama suami dengan perkara-perkara yang romantis. Berikan dirinya ciuman lembut, mengajaknya berpelukan atau memberikan urutan untuk melembutkan otot-otot yang tegang. Cara ini bibit kemesraan akan terus berlanjutan dan tidak mustahil anda akan kembali beraksi.
3. Mandi bersama
Setelah habis-habisan bercinta, pastinya tubuh akan kepenatan dan basah dengan peluh. Jadi untuk mengembalikan kesegaran, mengapa tidak mandi saja. Tapi, cubalah untuk mandi berdua. Selain menjimatkan waktu pastinya ia akan membuatkan suasana lebih intim. Anda pasti boleh membayangkannya bukan!
4. Sediakan kudap-kudapan
Hubungan intim memang mengerah tenaga, justeru tidak hairan jika selepas ‘pertarungan’ anda dan pasangan berasa lapar. Oleh itu apa kata sejak awal lagi sediakan kudap-kudapan ringan bersama air untuk mengalas perut sebelum tidur selain mengembalikan sedikit tenaga.